SEBAUH (24 MAC): Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom menyeru penduduk Kampung Hilir Sebauh agar menggubal pelan induk sosioekonomi komuniti yang komprehensif bagi menghadapi cabaran keterjaminan makanan dan keperluan pembangunan infrastruktur jangka panjang.
Dr Rundi bersama isteri, Datin Sri Loreta Sawot, hadir memeriahkan Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri Kampung Hilir Sebauh di Balairaya Kampung Hilir Sebauh pada Selasa. Dalam ucapannya, beliau menegaskan keperluan mendesak untuk beralih daripada pertanian berskala kecil kepada pendekatan kluster komersial yang lebih terancang dan berdaya saing.
“Tak boleh buat in silo, tak boleh buat bersendirian. Kena buat in group. Kalau satu orang lima ekar, 10 orang 50 ekar,” tegas Dr Rundi.
Merujuk kepada model kluster makanan metropolitan di Belanda iaitu sebuah pendekatan pertanian berpusat yang menggabungkan pengeluaran, pemprosesan dan pengagihan dalam satu ekosistem bersepadu, beliau memaklumkan bahawa model serupa, dikenali sebagai Metropolitan Food Cluster (MFC), kini sedang dibina di Lundu sebagai perintis untuk Sarawak.
Beliau turut menyoroti jurang pengeluaran beras yang ketara antara Sarawak dan wilayah jiran Kalimantan sebagai bukti keperluan segera untuk memperkukuh keselamatan makanan tempatan.
Menurut Dr Rundi, Kalimantan di Sambas menghasilkan lebih tiga juta metrik tan beras setahun, berbanding Sarawak yang hanya mampu mengeluarkan 21,000 metrik tan iaitu sebuah jurang yang beliau sifatkan sebagai amaran serius di tengah-tengah ketidakstabilan global yang berterusan.
“Pada masa sekarang kita dengar banyak kucar-kacir, dunia sedang sibuk berperang. Jadi kita terpaksa bersedia menyediakan makanan untuk kita sendiri,” katanya.
Mengenai soal infrastruktur, Dr Rundi menggariskan perancangan pembinaan sebuah bandar baharu di seberang sungai sebagai langkah proaktif bagi menangani ancaman banjir yang semakin kerap menghantui penempatan rendah di Sebauh.
Dengan kelulusan pembinaan jambatan baharu, lanskap topografi dan kebolehcapaian kawasan tersebut dijangka berubah secara mendadak, seterusnya menuntut penguatkuasaan keselamatan komuniti yang lebih sistematik. Beliau mengingatkan penduduk agar mengaktifkan semula skim rondaan rukun tetangga susulan peningkatan kes kecurian yang dilaporkan.
Beliau turut merakamkan pujian terhadap keharmonian sosial masyarakat majmuk di wilayah itu. Dr Rundi memaklumkan bahawa kerajaan negeri, menerusi Jabatan Tanah dan Survei, sedang dalam peringkat akhir perancangan untuk mewujudkan kawasan perkuburan bersepadu seluas lebih 50 ekar bagi menempatkan komuniti Dayak, Melayu dan Cina dalam satu kawasan berjiran dan ini mencerminkan prinsip hidup bersama yang telah lama menjadi teras identiti Sarawak.
Bagi menjamin kelangsungan pembangunan wilayah, beliau menggesa ibu bapa agar membimbing anak-anak ke arah pengajian Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), yang dinilai amat penting bagi merealisasikan aspirasi wilayah berpendapatan tinggi menjelang 2030. Kepakaran teknikal turut dilihat sebagai benteng perlindungan belia tempatan daripada terjebak dalam gejala sosial seperti perjudian dalam talian dan penyalahgunaan dadah.
Bagi menyokong usaha perancangan di peringkat akar umbi, kementerian beliau meluluskan dana pemula berjumlah RM40,000 iaitu dengan pecahan RM10,000 kepada Biro Wanita Kampung Hilir Sebauh dan RM30,000 kepada JKKK Kampung Hilir Sebauh, khusus untuk membiayai proses penggubalan pelan induk kampung berkenaan.
“Wawasan kita di kampung ini, kita tidak mahu ketinggalan dari segi sosioekonomi, kita tidak mahu ketinggalan dari segi infrastruktur,” kata Dr Rundi menutup ucapannya.Sebauh Digesa Gubal Pelan Induk Sosioekonomi, Beralih ke Pertanian Kluster








