BINTULU (1 Mei): Kerajaan Sarawak sedang melaksanakan program pertanian pintar menggunakan teknologi Internet of Things (IoT) dan dron di kawasan Batu 11, Bintulu, sebagai model pembangunan sosioekonomi baharu bagi masyarakat luar bandar.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap ADUN Kemena, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Anak Utom, mendedahkan perkara ini semasa berucap di Majlis Mantar Gawai Sebauh 2026 di Dinner World, Bintulu, pada 1 Mei 2026.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Tetamu Kehormat, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua serta Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

“Kita menggunakan pertanian presisi dengan teknologi IoT, pertanian pintar, dan dron yang baru-baru ini dibawa untuk dipelajari. Selepas mereka mahir, mereka boleh merancang sendiri dan kembali ke tanah mereka yang mempunyai banyak keluasan,” kata Dr. Rundi.

Program ini bertujuan membekalkan kemahiran moden kepada masyarakat luar bandar supaya mereka mampu mengusahakan tanah sendiri secara lebih produktif, serta mengurangkan kebergantungan kepada pekerjaan bergaji di bandar.

Dr. Rundi turut menyebut potensi pembangunan agropark di kawasan sekitar Sebauh sebagai sebahagian daripada hala tuju pertanian moden di daerah Sebauh, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS 2030). – kemenaupdate.com

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here