BINTULU (2 Mei) : Seorang anak muda berbangsa Dayak yang kini berkhidmat sebagai jurutera di kilang BMW di Munich Jerman telah berjaya mengaplikasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan keuntungan kilang-kilang kelapa sawit di Sarawak dan ini membuktikan bahawa bakat anak tempatan mampu bersaing dan memberi kesan nyata di peringkat global.

Kisah kejayaan itu dikongsikan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr. Stephen Rundi Anak Utom ketika berucap pada Majlis Pengerami Ngabang Gawai 2026 di Dinner World Restaurant Bintulu, Sabtu malam.

“Beliau adalah anak bangsa kita sendiri, dari kaum kita. Beliau mempunyai idea dan kini sedang bekerja di Jerman. Beliau telah membuktikan bahawa ini boleh dilakukan iaitu melalui AI,” kata Dr. Rundi.

Beliau berkata, anak muda berkenaan yang tidak disebutkan namanya, bertemu dengannya baru-baru ini dan berkongsi bagaimana penggunaan AI dapat membantu kilang-kilang sawit di Sarawak mengurangkan pembaziran dan meningkatkan hasil pengeluaran secara signifikan.

Dr. Rundi menggunakan kisah itu untuk mendorong masyarakat Dayak agar lebih berani menampilkan bakat masing-masing, tidak menghalang kejayaan orang lain dalam komuniti, dan yang paling penting apabila berjaya, tidak melupakan saudara-mara yang masih ketinggalan.

“Jangan malu. Jangan enggan menunjukkan kebolehan. Dan apabila kamu berjaya, bawa bersama mereka yang masih di belakang,” tambahnya.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, sebagai tetamu kehormat. – kemenaupdate.com

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here