BINTULU — Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom menggesa penduduk luar bandar, khususnya di Kampung Pandan, Sebauh, untuk beralih daripada pemikiran tradisional kepada penciptaan kekayaan ekonomi melalui pembangunan sebuah Pelan Induk yang komprehensif.
Berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Pandan Sebauh, beliau menegaskan bahawa peralihan landskap fizikal dan minda adalah kritikal bagi memastikan komuniti tersebut tidak ketinggalan menjelang sasaran Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 negeri itu.
Bagi menyokong perancangan peringkat akar umbi tersebut, beliau mengumumkan geran awal sebanyak RM30,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi menyelaraskan penyediaan kertas kerja strategik pembangunan Kampung Pandan, di samping menampung keperluan awal menaik taraf dewan tempatan.
“Sesuatu pembangunan harus dirancangkan dengan sistem yang betul. Saya mahu jawatankuasa melihat potensi kawasan ini dan merangka pelan induk untuk mengubah corak sosioekonomi supaya lebih lestari,” kata beliau, sambil menambah bahawa kemudahan infrastruktur baharu, termasuk pembinaan jalan raya sepanjang 700 meter dan cadangan penyediaan perkhidmatan feri, sedang diusahakan bagi mempercepatkan akses dan mobiliti penduduk.
Dalam pada itu, Dr. Rundi turut memberi peringatan keras kepada pemilik tanah agar tidak memindah milik atau menjual aset hartanah mereka demi keuntungan jangka pendek.
Beliau menyifatkan tindakan melepaskan hak tanah sebagai satu kerugian kekal yang akan menjejaskan kelangsungan hidup generasi akan datang.
Menyentuh soal sekuriti makanan dalam mendepani ketidaktentuan global dan tekanan inflasi, beliau menyarankan agar penduduk memaksimumkan penggunaan tanah sedia ada untuk kelangsungan pertanian.
Inisiatif sara diri ini merupakan benteng utama komuniti dalam mendepani kenaikan harga barang, kos baja, dan kesan langsung daripada konflik geopolitik antarabangsa seperti di Timur Tengah.
Beliau turut mencabar golongan belia terpelajar yang merantau ke bandar untuk kembali menyumbang kepakaran membangunkan kawasan asal mereka.
Komuniti luar bandar diseru supaya mencontohi pendekatan ekonomi yang progresif iaitu menjadikan pengalaman bekerja sebagai platform untuk membina perniagaan dan mencipta kekayaan (wealth creation), dan bukan sekadar bergantung kepada makan gaji atau pendapatan tetap.
Kejayaan visi pembangunan ini, tegas beliau, memerlukan penolakan mutlak terhadap unsur perpecahan dan hasad dengki di peringkat kampung.
Mengambil contoh kestabilan struktur kepimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang utuh bergerak secara sepasukan di bawah pimpinan Premier Sarawak, beliau mengulangi pendirian bahawa muafakat jitu kepimpinan akar umbi adalah kunci utama dalam merancakkan agenda pembangunan setempat.24 Mac 2026 | Dr Rundi Gesa Pembangunan Pelan Induk Kampung Pandan, Seru Perubahan Minda








