LUNDU (10 APR) – Kerajaan Sarawak menetapkan sasaran strategik untuk mencapai kadar sara diri (SSL) beras sebanyak 60 peratus menjelang tahun 2030, satu lonjakan ketara daripada paras semasa 21 peratus, bagi mengurangkan pergantungan negeri ini terhadap import beras.

Demikian ditegaskan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, semasa menemani Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, dalam Lawatan Kerja ke Tanjung Purun, Lundu, pada Jumaat.

Beliau menegaskan bahawa kebergantungan import beras sebanyak 79 peratus pada masa kini meletakkan Sarawak dalam kedudukan yang berisiko tinggi.

Menghadapi ketidaktentuan geopolitik global dan ancaman perubahan iklim, tindakan menyeluruh dan segera amat diperlukan bagi menjamin keselamatan makanan negeri.

“Dalam hal padi, hal padi ini sangat penting kerana ia soal hidup dan mati. Banyak duit sekalipun, kalau tidak ada beras, kita tidak akan dapat hidup,” kata Dr Rundi.

Namun pembangunan infrastruktur pertanian dalam skala besar itu memerlukan pembiayaan yang besar. Beliau mendedahkan bahawa kos pembangunan infrastruktur pertanian di Sarawak dianggarkan sekitar RM500,000 bagi setiap hektar.

Setakat ini, kerajaan negeri telah mengenal pasti kawasan seluas 15,000 hektar untuk penanaman padi, dengan fasa pertama membabitkan 2,000 hektar tanah milik kerajaan yang menuntut peruntukan infrastruktur sekurang-kurangnya RM1 bilion.

Bagi merealisasikan inisiatif ini, Dr Rundi turut merayu agar Kerajaan Persekutuan memberikan sokongan kewangan bagi memastikan perancangan estet padi moden ini dapat dilaksanakan.

“Dua ribu hektar memerlukan RM1 bilion untuk infrastruktur. Kalau 14,000 hektar, RM7 bilion. Bantulah, kerana ini penting,” ujar beliau secara terus terang ketika merayu sokongan kewangan persekutuan.

Kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan dilihat amat kritikal bagi memastikan inisiatif ini menyumbang kepada keterjaminan bekalan makanan negara secara menyeluruh.

Bagi mengelakkan ancaman penukaran status tanah kepada tanaman komoditi yang lebih menguntungkan seperti kelapa sawit, Kerajaan Sarawak telah mengambil langkah proaktif dengan mewartakan tanah berkeluasan 800 hektar di Lawas dan Limbang secara eksklusif untuk penanaman padi.

Strategi pengeluaran beras negeri kini dilaksanakan secara berperingkat mengikut bahagian, bermula dengan usaha memastikan kawasan seperti Kapit, Kuching, dan Miri mencapai status SSL 100 peratus di peringkat domestik sebelum kerangka pelaksanaan ini dikembangkan ke wilayah lain.

Menyedari cabaran demografi petani yang semakin menua, penekanan mendalam turut diberikan terhadap pemodenan sektor pertanian melalui mekanisasi, pertanian pintar, dan teknologi berketepatan tinggi.

Dr Rundi menekankan bahawa sektor ini memerlukan peralihan paradigma yang menyeluruh iaitu daripada pendekatan sara diri tradisional kepada model perniagaan komersial yang berdaya maju bagi menarik minat generasi muda yang berkemahiran untuk menerajui rantaian industri agromakanan.

“Sektor agro tidak boleh lagi bersikap ‘tangkap padi makan padi.’ Ia mesti berasaskan perniagaan. Amalan mesti berubah, mindset mesti berubah,” tegasnya.

Sebagai langkah sandaran dan kerjasama serantau, kerajaan negeri turut meneliti potensi jalinan dengan wilayah Sambas di Kalimantan, Indonesia, yang mencatatkan lebihan pengeluaran beras sebanyak 60,000 tan metrik setahun.

Satu pasukan petugas khas akan ditubuhkan bagi mengkaji kebolehlaksanaan pertukaran kepakaran dan perdagangan dari sudut teknikal serta kos, bagi mengukuhkan keterjaminan bekalan makanan Sarawak dalam menghadapi sebarang ketidaktentuan global. – kemenaupdate.com

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here