NIAH | 28 MAC: Komuniti Penan diseru melakukan anjakan minda yang drastik iaitu meninggalkan pertanian sara diri dan beralih kepada ekosistem pertanian komersial berkelompok bagi menjamin masa depan sosioekonomi yang lebih mampan.

Seruan itu disampaikan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Anak Utom, semasa menyempurnakan majlis perasmian Pesta Penan “Tipun Pinum Pengida’ Penan” 2026 di Kampung Mareng, Jambatan Suai, Niah, Miri pada Sabtu.

Pesta tiga hari itu berlangsung dari 27 hingga 29 Mac 2026 dan ianya kali keempat diadakan oleh Persatuan Pembangunan Tipun Penan Sarawak (PETIPUN), dengan tema Empowering The Penan: Mapping Our Future dan bermotto Jah Ha’ Jah Kenin.

Mengakui bahawa perubahan mentaliti adalah proses yang tidak mudah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena itu berkata, himpunan ini bukan sekadar perayaan biasa.

“Time has come. Time has come for us to show the world. Dan orang Penan sudah tahu bahawa imej adalah satu-satunya yang paling penting untuk kita jaga,” katanya.

Beliau menekankan bahawa integrasi teknologi pertanian pintar, penggunaan IoT serta penyatuan tanah secara berkelompok adalah kunci utama mengubah taraf kewangan masyarakat luar bandar. Menurut Dr Rundi, satu pintu tanah seluas dua ekar yang digabungkan dalam kelompok 36 pintu berpotensi menghasilkan 72 ekar tanaman komersial yang dikenali pasaran.

“Tak boleh kita lakukan ini secara silo. Kita mesti berkelompok,” tegasnya.

Dr Rundi turut mengingatkan generasi muda agar membuang sikap iri hati terhadap kejayaan saudara sendiri. Menggunakan metafora ketam, beliau berkata tabiat menarik turun mereka yang ingin maju hanya akan memastikan keadaan masyarakat tidak berubah dari dahulu hingga kini.

Menyentuh soal pendidikan, beliau menegaskan bahawa kegagalan dalam peperiksaan formal bukanlah pengakhiran segalanya, kerana setiap individu mempunyai kebolehan yang berbeza dan tersendiri.
“Saya jadi doktor, saya tak tahu buat jala, saya tak pandai tangkap ikan. Banyak perkara yang saya tidak boleh buat. Penan dua-dua boleh,” katanya disambut ketawa hadirin.

Dr Rundi menyeru komuniti menjadikan tokoh-tokoh Penan yang berjaya sebagai ikon rujukan, khususnya Temenggong Masyarakat Penan, Datuk Hasan Sui, serta Datu Nyurak Keti iaitu Presiden PETIPUN merangkap Residen Bintulu yang merupakan orang Penan pertama memegang jawatan Residen dalam sejarah negeri ini.

Dalam konteks lebih luas, Dr Rundi memaklumkan bahawa Sarawak kini diiktiraf sebagai wilayah berpendapatan tinggi, dan kerajaan mensasarkan pendapatan tidak kurang daripada RM15,000 sepintu menjelang tahun 2030, merangkumi isi rumah di kawasan luar bandar.

Sebagai manifestasi komitmen kerajaan, Dr Rundi mengumumkan penyaluran dana keseluruhan berjumlah RM100,000 iaitu merangkumi RM50,000 untuk pergerakan PETIPUN, RM20,000 bagi memperkasakan Biro Wanita, dan RM30,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Mareng yang diketuai KK Herman Hasan selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur.

Majlis perasmian diserikan dengan persembahan tarian tradisional iaitu Bolu Biduk, Ngiteu atau Sayau Titot dari Baram, serta Sagak Penan dari Belaga yang menghimpunkan warisan seni budaya pelbagai kawasan penempatan Penan di Sarawak.

Semangat identiti Penan turut terserlah melalui acara sukan tradisi yang dipertandingkan sepanjang pesta, termasuk Meput (menyumpit), Ngelaveng (lompat tinggi), Mapem (lompat jauh), Selekit (merejam gelung rotan) serta Pelaboh (potong kayu). – kemenaupdate.com

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here