NIAH | 25 April | Sarawak memerlukan generasi berilmu tinggi yang mampu menguasai teknologi masa hadapan seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi moden bagi memastikan negeri ini tidak ketinggalan dalam arus kemajuan global.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom menegaskan bahawa masa depan pembangunan Sarawak kini bergantung sepenuhnya kepada pelajar yang mencapai kejayaan cemerlang dalam pendidikan, khususnya dalam mendepani cabaran teknologi baharu.

Beliau menyeru agar tumpuan diberikan kepada bidang STEM, dengan penekanan khusus terhadap penguasaan bahasa Inggeris dan kemahiran teknikal bagi memastikan anak-anak Sarawak selari dengan hala tuju pembangunan negeri semasa beliau berucap di Rumah Lawrence,Bukit Kenyalang malam tadi.

Mengambil contoh sektor pertanian, Dr Rundi menyatakan bahawa golongan petani tidak lagi boleh bergantung kepada kaedah tradisional semata-mata jika mahu meningkatkan hasil.

“Untuk mempertingkatkan hasil pertanian, kita perlu menggunakan mesin, sistem automasi, dron dan sebagainya. Jika kita tidak mempelajari teknologi ini, kita tidak akan dapat menggunakannya. Lihat sahaja negara seperti China, Taiwan mahu pun Thailand, mereka sudah lama menggunakan mekanisasi yang baru,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa anak-anak Sarawak untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang pendidikan percuma di universiti-universiti milik kerajaan negeri. Antara institusi yang disebut termasuklah Universiti Curtin di Miri, i-CATS University College dan Universiti Swinburne di Kuching, serta Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu.

Langkah ini dilihat sebagai kunci utama dalam melahirkan generasi “bijak pandai” yang bakal memacu transformasi Sarawak ke arah sebuah negeri maju berasaskan teknologi dan inovasi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here