BINTULU, 25 Jun 2026 – Di ladang-ladang luar bandar, ada musim yang petani rasakan sangat cemas. Bukan musim kemarau, bukan banjir. Tapi musim buah.
Apabila durian jatuh, apabila nanas menguning serentak, apabila hasil musim tiba bersamaan untuk ribuan petani, harga runtuh. Lebihan bekalan melanda pasaran. Buah yang tidak terjual membusuk di ladang atau di tepi jalan. Petani yang bekerja berbulan-bulan melihat hasil kerja mereka tidak menjadi, harga yang tidak berbaloi dengan penat lelah.
“Kita tunggu buah yang seasonal. Bila dia banyak nanti berlambak, jadi tidak berguna,” kata Dato Sri Dr. Stephen Rundi Anak Utom dalam ucapannya di Majlis Penyerahan Geran MRP DUN Kemena, 25 Jun 2026.
Itulah masalah struktural yang, kata Dr. Rundi, mesti diselesaikan bukan dengan menanam lebih kurang tetapi dengan mengubah cara Sarawak memperlakukan hasil pertaniannya.
Jawapannya: industri hiliran.
Dalam bahasa ekonomi, “hiliran” atau downstream bermaksud pemprosesan iaitu mengambil hasil pertanian mentah dan mengolahnya menjadi produk bernilai lebih tinggi yang tahan lebih lama dan boleh dijual di pasaran yang lebih luas.
Nanas bukan dijual segar selama seminggu sebelum busuk tetapi dijadikan jus, pes, atau manisan yang boleh disimpan berbulan-bulan dan dieksport.
Durian bukan hanya dijual terus dari pokok tetapi diproses menjadi produk premium yang boleh memasuki pasaran antarabangsa.
Lada hitam Sarawak yang sudah ada nama dan reputasi antarabangsa, boleh diproses menjadi produk nilai tinggi yang bukan sekadar dijual sebagai biji lada mentah.
“Seasonal fruit pun kita buat proses downstream. Ia akan tahan lama. Kita akan put into new product, new value,” kata Dr. Rundi.
Contoh paling konkrit yang beliau berikan adalah padi. Pada masa ini, padi Sarawak ditukar hanya kepada beras dan beras pun sebahagiannya masih di bawah kawalan entiti persekutuan. Tetapi padi boleh dijadikan tepung, biskut, minuman berkhasiat, dan pelbagai produk lain “all the way down”. Setiap langkah dalam rantaian pemprosesan itu mewujudkan nilai baharu, pekerjaan baharu, dan pendapatan baharu.
“Whatever we produce, has to be translated into dollars and cents. It’s not for your own consumption,” kata Dr. Rundi.
Perbandingan yang Dr. Rundi gunakan untuk menggambarkan potensi ini adalah China iaitu negara yang menurutnya telah berjaya menguasai keseluruhan rantaian nilai pertanian, dari biji benih hingga ke rak kedai.
“Everything they do, they add value, they improve,” katanya.
Cabaran utama, menurut Dr. Rundi, bukan di peringkat penanaman kerana petani Sarawak sudah mampu menanam dengan baik. Masalahnya adalah di peringkat pasca-penuaian: tiada sistem yang kukuh untuk membawa produk dari ladang ke kilang pemprosesan ke pasaran.
“The only issue now is the supply chain,” katanya.
Penyelesaian itu, katanya, memerlukan ekosistem yang lengkap. Benih berkualiti, nurseri yang baik, produk berkualiti tinggi, dan kemudian jalan ke pasaran downstream. Setiap peringkat mesti ada dan mesti berfungsi sebelum petani boleh mengecap nilai sebenar dari hasil tanah mereka.
Dr. Rundi mengarahkan Jabatan Pertanian Sarawak untuk giat mendidik petani tentang pendekatan ini kerana tanpa pengetahuan, petani akan terus menjual segar, terus terdedah kepada volatiliti harga, dan terus hilang nilai yang sepatutnya menjadi milik mereka.
Bagi Sarawak khususnya, kawasan yang kaya dengan hasil pertanian tetapi masih banyak bergantung kepada pasaran tempatan, mesej itu adalah cabaran yang langsung: tanah ada, akal ada, yang tinggal adalah kesediaan untuk berubah cara fikir tentang apa yang hasil pertanian boleh jadi. – kemenaupdate.com








