BINTULU (1 Mei): Kerajaan Sarawak sedang mengusulkan peruntukan bernilai lebih kurang RM1.17 bilion bagi membaik pulih dan menaik taraf rangkaian jalan di kawasan Sebauh dan Tatau, termasuk pengambilalihan bekas jalan balak yang sudah tidak lagi digunakan oleh syarikat pembalakan.

Perkara ini didedahkan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Anak Utom, semasa berucap di Majlis Mantar Gawai Sebauh 2026 di Dinner World, Bintulu, pada 1 Mei 2026.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua serta Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, selaku Tetamu Kehormat.

Dr. Stephen berkata, pihaknya bersama Residen Bahagian Bintulu dan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengemukakan cadangan kepada Datuk Amar Douglas supaya Lembaga Pembangunan Bintulu (BDA) membantu menyediakan infrastruktur jalan di Tatau, Sebauh, Bintulu dan Samalaju.

“Jalan dari Sebauh menuju Ulu Pandan masih belum siap, begitu juga jalan di Tatau. Lebih kurang RM1.17 bilion diperlukan untuk jalan-jalan tersebut sahaja,” katanya.

Dr. Stephen turut menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak akan mengambil alih bekas jalan balak yang sudah ditinggalkan untuk dijadikan jalan awam, selari dengan hasrat yang pernah disuarakan oleh Premier Sarawak.

Beliau juga meluahkan kebimbangan terhadap sebuah jambatan sedia ada di kawasan berkenaan yang hanya mampu menanggung beban sehingga 10 tan, sedangkan kenderaan berat yang menggunakannya mencecah 30 tan. Beliau menggesa ketua-ketua masyarakat tempatan supaya memantau penggunaan jambatan tersebut dengan lebih ketat.

Cadangan ini dijangka dimuktamadkan dan dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-13 yang bermula tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here