BINTULU, 27 April – Kerajaan Sarawak menggesa ketua masyarakat dan tuai-tuai rumah mengadakan rundingan terus dengan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) bagi menyelesaikan pertikaian tanah Hak Adat Resam Bumiputera (NCR) sebelum ia meningkat ke peringkat mahkamah.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, berkata pertikaian yang dibawa ke mahkamah bukan sahaja memakan masa dan kos yang tinggi, malah menyempitkan ruang campur tangan kerajaan dan wakil rakyat dalam menyelesaikannya.

“Ketua masyarakat dan JKKK tidak seharusnya berputus asa dalam memohon kerja ukur tanah. Segala pertindihan kawasan perlu diselesaikan menerusi rundingan dari awal. Jika konflik ini dibiarkan meruncing sehingga ke peringkat mahkamah, campur tangan pihak kerajaan dan wakil rakyat menjadi mustahil,” ujar beliau lagi.

Beliau berucap dalam Malis Penyerahan Geran MRP DUN Kemena fasa 1 bagi tahun 2026 berjumlah RM505,260 kepada 32 penerima di Pejabat Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu pada Isnin.

Isu tanah NCR kekal antara perkara paling sensitif di Sarawak, membabitkan hak tradisi masyarakat Bumiputera yang telah menduduki dan mengusahakan tanah turun-temurun mereka, namun masih belum mendapat pengiktirafan hak milik yang sah.

Dr Rundi menggariskan proses yang perlu dipatuhi iaitu kerja ukur tanah hendaklah dilaksanakan berpandukan Kanun Tanah Negeri di bawah Seksyen 6 bagi pewartaan kawasan komunal terlebih dahulu, sebelum surat hak milik individu dikeluarkan di bawah Seksyen 18.

Beliau turut memetik peralihan pengurusan operasi syarikat pembalakan di kawasan Binyo sebagai contoh keperluan mendesak untuk menentusahkan sempadan NCR secara jelas.

Tanpa pengesahan sempadan yang sah, rancangan pembangunan masa depan berisiko tergendala, dan hak masyarakat tempatan terdedah kepada pencerobohan berikutan pengeluaran Lesen Sementara (PL) kepada syarikat korporat. – kemenaupdate.my

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here