BINTULU (1 Mei): Kegiatan vandalisme yang berterusan terhadap infrastruktur bekalan elektrik di kawasan Ulu Pandan telah menghalang penduduk setempat daripada menikmati bekalan elektrik, walaupun tiang, kabel dan wayar sudah lama dipasang di kawasan berkenaan.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap ADUN Kemena, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Anak Utom, mendedahkan situasi yang meresahkan itu semasa berucap di Majlis Mantar Gawai Sebauh 2026 di Dinner World, Bintulu, pada 1 Mei 2026.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua serta Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, hadir selaku Tetamu Kehormat.

“Tiang sudah ada, kabel sudah ada, wayar sudah ada, tetapi tiada elektrik. Banyak vandalisme berlaku, transformator hilang, kabel putus, tiang roboh,” kata Dr. Rundi.

Pencurian perkakasan infrastruktur tersebut dipercayai berkaitan dengan aktiviti penebangan pokok sawit secara tidak sah di kawasan sekitar.

Dr. Stephen meluahkan rasa kecewa yang mendalam, menyatakan bahawa infrastruktur berkenaan sudah siap dibina sejak beliau mula memegang jawatan menteri, namun penduduk setempat masih belum menikmati bekalan elektrik sehingga hari ini.

Beliau menggesa ketua-ketua masyarakat, ketua kaum, dan pemimpin tempatan di sekitar kawasan berkenaan supaya bertindak secara proaktif dalam memantau dan menjaga infrastruktur tersebut, menekankan bahawa tanggungjawab menjaga aset awam adalah milik bersama. – kemenaupdate.com

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here