KUCHING, 23 Jun 2026 – Di dewan Hotel Imperial Kuching pada Selasa malam, hiasan pentas yang diapresiasi sendiri oleh menteri menambah semangat kepada ratusan pegawai dan penyelidik yang hadir ke majlis gala tahunan Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak.
Di hadapan mereka, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Anak Utom, berdiri dalam pakaian baju Gawai yang dipakainya dengan sengaja, sebagai tanda betapa pentingnya majlis itu baginya dan menyampaikan arahan yang mungkin akan mengubah cara kementerian itu beroperasi buat tahun-tahun akan datang.
“Di kementerian ini, dalam setiap jabatan di sini atau setiap agensi, anda mesti ada seorang pakar AI,” kata Dr. Rundi.
Bukan cadangan. Arahan.
Majlis itu adalah Majlis Gala dan Penyampaian Anugerah Inovasi Mini Konvensyen Innovative and Creative Circle (ICC) Peringkat M-FICORD 2026 iaitu konvensyen inovasi dalaman kementerian di mana sembilan pasukan dari pelbagai jabatan dan agensi bersaing menampilkan daya cipta mereka. Hadir sama, kedua-dua Timbalan Menteri M-FICORD, YB Datuk Maclaine @ Martin Ben dan YB Datuk Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Ismail.
Dalam ucapan lebih 30 minit itu, Dr. Rundi melukis gambaran perjalanan panjang sektor pertanian Sarawak, dari ladang-ladang yang dikerjakan nenek moyang secara manual dengan tulang empat kerat, kepada mekanikal dan jentera, dan kini kepada AI. Tiga lompatan teknologi dalam satu hayat kementerian.
Bagi Dr. Rundi, keengganan untuk berubah adalah musuh terbesar. Jabatan Pertanian Sarawak sudah berusia lebih satu abad iaitu institusi yang lebih tua daripada kemerdekaan Malaysia sendiri. Tanpa pembaruan berterusan, amalan kerja lama boleh menjadi batu penghalang kemajuan yang tidak sedar sendiri.
“Amalan yang tidak membawa kebaikan kepada kita atau tidak membawa kita ke mana-mana, ketepikan. Kita maju ke hadapan dengan cara baharu,” kata Dr. Rundi, nada suaranya tegas.
Arahan menggalakkan penggunaan AI ini tidak berdiri sendiri. Ia datang dalam konteks yang lebih besar: M-FICORD sedang beralih kepada model Perusahaan Milik Negeri (SOE), sebuah paradigma pengurusan yang menekankan hasil terukur di atas proses dan usaha semata-mata.
Dalam kerangka ini, AI bukan sahaja alat operasi, tetapi instrumen untuk menghasilkan data prestasi yang boleh dinilai dan dipertanggungjawabkan.
Cabaran pelaksanaan bagi M-FICORD tidak kecil. Kementerian ini menaungi berberapa jabatan dan agensi iaitu termasuk SALCRA, SEB, NIPAH, dan lembaga padi baharu, yang masing-masing mempunyai skop kerja, lokasi, dan kapasiti sumber manusia yang berbeza-beza.
Mewajibkan pengetahuan AI di setiap peringkat memerlukan lebih daripada arahan, ia memerlukan pelan pengisian kapasiti yang terancang.
Namun Dr. Rundi memberi isyarat bahawa ini adalah keutamaan segera, bukan aspirasi jangka panjang.
Dalam ucapan yang sama, beliau berulang kali mengingatkan tentang rasa mendesak iaitu “hari ini terima, esok mesti balas”, sebagai nilai kerja yang perlu menjadi sebati dalam budaya M-FICORD.
Dengan harapan ini, Sarawak melangkah ke hadapan dalam mewujudkan agensi pertanian yang bersedia menghadapi era digital iaitu sebuah langkah yang mencerminkan keyakinan bahawa sektor yang memberi makan rakyat Sarawak tidak boleh tertinggal dalam arus transformasi teknologi global. – kemenaupdate.com
#kemenaupdate#mficord#SarawakkuSayang#JagaSarawakIntuSarawak








