BINTULU (1 Mei): Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap ADUN Kemena, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Anak Utom, memuji tindak balas agensi-agensi kerajaan semasa banjir yang baru-baru ini melanda kawasan Sebauh, sambil mengeluarkan amaran keras kepada masyarakat supaya tidak terpedaya dengan penyebaran berita palsu di media sosial ketika krisis berlaku.

Beliau menyuarakan hal ini semasa berucap di Majlis Mantar Gawai Sebauh 2026 di Dinner World, Bintulu, pada 1 Mei 2026, sebuah majlis yang disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua serta Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, selaku Tetamu Kehormat.

Dr. Rundi mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Daerah, agensi pengurusan bencana, Jabatan Bomba dan Penyelamat, serta semua agensi yang terlibat dalam operasi bantuan banjir.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih bagi pihak rakyat. Tuan Pegawai Daerah bekerja siang dan malam. Apa yang telah dilakukan amat kami hargai,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa banjir itu hanya melanda kawasan Sebauh sahaja, manakala kawasan-kawasan berdekatan seperti Bintulu, Jelalong dan Tubau tidak terjejas langsung iaitu fakta yang menurutnya perlu difahami masyarakat bagi mengelakkan salah tanggapan tentang skala sebenar bencana tersebut.

Dr. Rundi menegaskan bahawa kejadian itu seharusnya mendorong pihak berkuasa dan masyarakat untuk mencari punca dan mencegah kejadian yang sama daripada berulang.

Beliau turut memberi amaran agar masyarakat tidak terbawa-bawa dengan kandungan media sosial yang tidak bertanggungjawab.

“Jangan terpedaya dengan semua berita palsu yang tidak perlu ini,” tegasnya. – kemenaupdate.com

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here