BINTULU, 25 Jun 2026 – Bayangkan ladang pertanian yang boleh menyirami sendiri, membaja sendiri, mengawal suhu sendiri dan semua melalui sensor yang berhubung dengan telefon pintar di tangan petaninya.
Itulah teknologi yang Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak YB Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom maksudkan, sedang bina di Sarawak. Dan beliau mahu belia yang mengendalikannya.
“Kita akan buat, panggil belia-belia, untuk mengeluarkan hasil yang high value crop menggunakan IoT,” kata Dr. Rundi dalam ucapannya di Majlis Penyerahan Geran MRP DUN Kemena, 25 Jun 2026.
Projek precision farming menggunakan Internet of Things (IoT) di Sg Sebiew Bintulu itu dijangka siap menjelang akhir 2026. Sistem kawalan automatik yang dibangunkan membolehkan pengguna memantau dan mengawal masa pembajaan, pengairan, dan suhu melalui rangkaian sensor yang bersepadu, sekaligus mengurangkan andaian dan meningkatkan ketepatan dalam pengeluaran tanaman.
“Bila baja keluar, bila air keluar, temperature dalam dia boleh kontrol semua. Itu teknologi baru,” kata Dr. Rundi.
Tetapi cabarannya bukan semata-mata teknologi. Cabarannya adalah manusia.
Dr. Rundi bercakap terus-terang tentang satu realiti yang beliau perhatikan. Ramai graduan universiti Bumiputera, selepas bertahun-tahun belajar, masih mencari pekerjaan bergaji tetap, mahu kerja pejabat berpenghawa dingin, mahu “white collar” atau “blue collar.” Pertanian, walaupun menawarkan potensi pendapatan yang lebih tinggi dengan pendekatan betul, masih dilihat sebagai pilihan terakhir.
“Semua mahu tinggal dekat aircon,” katanya, dalam nada yang lebih berkongsi kerisauan berbanding menegur.
Dari situlah lahir mesej yang Dr. Rundi cuba tanamkan iaitu bukan tentang pertanian tradisional dengan cangkul dan lumpur, tetapi tentang “green collar”. Kategori pekerjaan baharu dalam pertanian moden yang dilengkapi teknologi, data, dan potensi pendapatan yang setara dengan kerjaya profesional.
Dan lebih dalam dari itu, Dr. Rundi membezakan antara dua mentaliti: “earn money” iaitu gaji tetap yang dibataskan oleh skala gaji, berbanding “make money” iaitu keusahawanan yang potensinya tidak berbatas.
“Why are the Chinese doing better than the rest? Because they learn from young how to make money,” katanya.
Bukan “mencuri” atau jalan singkat. Beliau menekankan: halal. Tetapi caranya berbeza dan bukan menunggu tawaran kerja, tetapi menciptanya.
Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) disebut sebagai ruang untuk belia belajar secara langsung iaitu melihat, merasai, dan meneroka pertanian moden bukan dari buku teks, tetapi dari pengalaman sebenar di ladang.
“Ada kita adakan kawasan yang terbuka, iaitu TKPM, bawa anak-anak kita belajar,” kata Dr. Rundi.
Dalam konteks yang lebih luas, inisiatif precision farming ini adalah sebahagian daripada usaha Sarawak untuk memodenkan sektor pertaniannya. Bukan sekadar dalam teknologi, tetapi dalam cara pengusaha muda memandang pertanian sebagai kerjaya pilihan, bukan kerjaya terpaksa.
Apabila sistem IoT itu siap akhir 2026, pertanyaan sebenar akan datang sesudah itu: apakah cukup belia Sarawak yang sanggup datang, belajar, dan tinggal? – kemenaupdate.com








