BINTULU (1 Mei): Sebuah jambatan baharu di Kampung Labang dicadang bagi menggantikan perkhidmatan feri yang selama ini menjadi nadi perhubungan di kawasan Sebauh, berikutan penilaian bahawa kos dan tempoh pembinaan jambatan adalah lebih kurang setara dengan sekadar menambah sebuah feri baharu.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap ADUN Kemena, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Anak Utom, mendedahkan cadangan itu semasa berucap di Majlis Mantar Gawai Sebauh 2026 di Dinner World, Bintulu, pada 1 Mei 2026.
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Tetamu Kehormat, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua serta Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang menjadi tumpuan perbincangan cadangan pembinaan jambatan tersebut.
“Kami mencadangkan jambatan di Kampung Labang. Feri yang sedia ada pula, kami meminta supaya ia disimpan untuk kegunaan di Pandan dan bukannya dikeluarkan dari Sebauh,” kata Dr. Stephen. Sebuah tanjakan feri persendirian yang sudah tersedia di Pandan, katanya, boleh terus dimanfaatkan tanpa kos tambahan yang besar.
Selain itu, sebuah jambatan lain di Rumah Jambai, Sebauh, kini sedang dalam peringkat reka bentuk dan akan dihubungkan dengan laluan menuju Rumah Singa. Dr. Stephen turut mendedahkan visi jangka panjang kawasan sekitar sebagai lokasi berpotensi untuk pembangunan agropark.
Pembinaan kedua-dua jambatan ini dijangka dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-13 yang bermula tahun ini. – kemenaupdate.com








