Kemena

Home Kemena

Sarawak Sasar Kadar Sara Diri Beras 60 Peratus, Mohon Dana Infrastruktur Kerajaan Persekutuan

0

LUNDU (10 APR) – Kerajaan Sarawak menetapkan sasaran strategik untuk mencapai kadar sara diri (SSL) beras sebanyak 60 peratus menjelang tahun 2030, satu lonjakan ketara daripada paras semasa 21 peratus, bagi mengurangkan pergantungan negeri ini terhadap import beras.

Demikian ditegaskan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, semasa menemani Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, dalam Lawatan Kerja ke Tanjung Purun, Lundu, pada Jumaat.

Beliau menegaskan bahawa kebergantungan import beras sebanyak 79 peratus pada masa kini meletakkan Sarawak dalam kedudukan yang berisiko tinggi.

Menghadapi ketidaktentuan geopolitik global dan ancaman perubahan iklim, tindakan menyeluruh dan segera amat diperlukan bagi menjamin keselamatan makanan negeri.

“Dalam hal padi, hal padi ini sangat penting kerana ia soal hidup dan mati. Banyak duit sekalipun, kalau tidak ada beras, kita tidak akan dapat hidup,” kata Dr Rundi.

Namun pembangunan infrastruktur pertanian dalam skala besar itu memerlukan pembiayaan yang besar. Beliau mendedahkan bahawa kos pembangunan infrastruktur pertanian di Sarawak dianggarkan sekitar RM500,000 bagi setiap hektar.

Setakat ini, kerajaan negeri telah mengenal pasti kawasan seluas 15,000 hektar untuk penanaman padi, dengan fasa pertama membabitkan 2,000 hektar tanah milik kerajaan yang menuntut peruntukan infrastruktur sekurang-kurangnya RM1 bilion.

Bagi merealisasikan inisiatif ini, Dr Rundi turut merayu agar Kerajaan Persekutuan memberikan sokongan kewangan bagi memastikan perancangan estet padi moden ini dapat dilaksanakan.

“Dua ribu hektar memerlukan RM1 bilion untuk infrastruktur. Kalau 14,000 hektar, RM7 bilion. Bantulah, kerana ini penting,” ujar beliau secara terus terang ketika merayu sokongan kewangan persekutuan.

Kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan dilihat amat kritikal bagi memastikan inisiatif ini menyumbang kepada keterjaminan bekalan makanan negara secara menyeluruh.

Bagi mengelakkan ancaman penukaran status tanah kepada tanaman komoditi yang lebih menguntungkan seperti kelapa sawit, Kerajaan Sarawak telah mengambil langkah proaktif dengan mewartakan tanah berkeluasan 800 hektar di Lawas dan Limbang secara eksklusif untuk penanaman padi.

Strategi pengeluaran beras negeri kini dilaksanakan secara berperingkat mengikut bahagian, bermula dengan usaha memastikan kawasan seperti Kapit, Kuching, dan Miri mencapai status SSL 100 peratus di peringkat domestik sebelum kerangka pelaksanaan ini dikembangkan ke wilayah lain.

Menyedari cabaran demografi petani yang semakin menua, penekanan mendalam turut diberikan terhadap pemodenan sektor pertanian melalui mekanisasi, pertanian pintar, dan teknologi berketepatan tinggi.

Dr Rundi menekankan bahawa sektor ini memerlukan peralihan paradigma yang menyeluruh iaitu daripada pendekatan sara diri tradisional kepada model perniagaan komersial yang berdaya maju bagi menarik minat generasi muda yang berkemahiran untuk menerajui rantaian industri agromakanan.

“Sektor agro tidak boleh lagi bersikap ‘tangkap padi makan padi.’ Ia mesti berasaskan perniagaan. Amalan mesti berubah, mindset mesti berubah,” tegasnya.

Sebagai langkah sandaran dan kerjasama serantau, kerajaan negeri turut meneliti potensi jalinan dengan wilayah Sambas di Kalimantan, Indonesia, yang mencatatkan lebihan pengeluaran beras sebanyak 60,000 tan metrik setahun.

Satu pasukan petugas khas akan ditubuhkan bagi mengkaji kebolehlaksanaan pertukaran kepakaran dan perdagangan dari sudut teknikal serta kos, bagi mengukuhkan keterjaminan bekalan makanan Sarawak dalam menghadapi sebarang ketidaktentuan global. – kemenaupdate.com

Dr Rundi Gesa Komuniti Luar Bandar Beralih kepada Pertanian Moden Berkelompok

0

SUAI, 28 Mac — Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, menggesa komuniti luar bandar Sarawak segera beralih daripada kaedah pertanian tradisional kepada pendekatan moden berasaskan mekanisasi, seiring dengan agenda sekuriti makanan negeri yang semakin diperketatkan.

Beliau menyampaikan gesaan itu semasa lawatan tapak projek naik taraf jalan masuk di bawah program Transformasi Luar Bandar (RTP) Rumah Panjang Steve Anak Lasan di Sg. Selasah, Suai, Niah.

Projek bernilai RM200,000 itu melibatkan naik taraf laluan tanah kepada jalan kerikil sepanjang 1,200 meter dengan kelebaran empat meter, memberi manfaat langsung kepada 104 orang penduduk daripada 15 pintu.

Dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Miri menerusi kontraktor Bumi Leza Enterprise, projek tersebut berjaya disiapkan jauh lebih awal daripada jadual kontrak pada 22 Januari 2026 iaitu hampir lima bulan sebelum tarikh siap yang ditetapkan pada 21 Jun 2026.

Berdepan isu rantaian bekalan dan harga beras yang tidak menentu, Dr Rundi menyarankan penduduk membentuk kumpulan tani berkelompok bagi mengusahakan tanaman komersial berskala besar, khususnya nanas varieti SG1 dan tanaman padi.

Pendekatan sedemikian dilihat mampu mewujudkan skala ekonomi, memudahkan permohonan dana agensi, serta membolehkan penyewaan jentera secara berpusat.

Dr Rundi turut menekankan kepentingan pengurusan tanah yang teratur sebagai prasyarat kepada sebarang pelaburan agrikultur.

Beliau mengarahkan semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Tuai Rumah memuktamadkan profil rasmi pemilikan tanah bertaraf Hak Adat Bumiputera (NCR) di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 18, bagi mengelakkan pertikaian tanah pada masa hadapan.

Dalam teguran sosioekonominya, Dr Rundi mengingatkan komuniti supaya mengutamakan simpanan kewangan terutamanya bagi menampung kos pendidikan anak-anak serta mengelakkan pembaziran dan aktiviti perjudian dalam talian yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi isi rumah.

Penyiapan projek RTP di Suai ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam membangunkan infrastruktur luar bandar sebagai tapak kukuh bagi pertumbuhan ekonomi komuniti tempatan. – Kemena Update

Sarawak Desak Rundingan Awal Selesai Isu Tanah NCR

0

BINTULU, 27 April – Kerajaan Sarawak menggesa ketua masyarakat dan tuai-tuai rumah mengadakan rundingan terus dengan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) bagi menyelesaikan pertikaian tanah Hak Adat Resam Bumiputera (NCR) sebelum ia meningkat ke peringkat mahkamah.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, berkata pertikaian yang dibawa ke mahkamah bukan sahaja memakan masa dan kos yang tinggi, malah menyempitkan ruang campur tangan kerajaan dan wakil rakyat dalam menyelesaikannya.

“Ketua masyarakat dan JKKK tidak seharusnya berputus asa dalam memohon kerja ukur tanah. Segala pertindihan kawasan perlu diselesaikan menerusi rundingan dari awal. Jika konflik ini dibiarkan meruncing sehingga ke peringkat mahkamah, campur tangan pihak kerajaan dan wakil rakyat menjadi mustahil,” ujar beliau lagi.

Beliau berucap dalam Malis Penyerahan Geran MRP DUN Kemena fasa 1 bagi tahun 2026 berjumlah RM505,260 kepada 32 penerima di Pejabat Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu pada Isnin.

Isu tanah NCR kekal antara perkara paling sensitif di Sarawak, membabitkan hak tradisi masyarakat Bumiputera yang telah menduduki dan mengusahakan tanah turun-temurun mereka, namun masih belum mendapat pengiktirafan hak milik yang sah.

Dr Rundi menggariskan proses yang perlu dipatuhi iaitu kerja ukur tanah hendaklah dilaksanakan berpandukan Kanun Tanah Negeri di bawah Seksyen 6 bagi pewartaan kawasan komunal terlebih dahulu, sebelum surat hak milik individu dikeluarkan di bawah Seksyen 18.

Beliau turut memetik peralihan pengurusan operasi syarikat pembalakan di kawasan Binyo sebagai contoh keperluan mendesak untuk menentusahkan sempadan NCR secara jelas.

Tanpa pengesahan sempadan yang sah, rancangan pembangunan masa depan berisiko tergendala, dan hak masyarakat tempatan terdedah kepada pencerobohan berikutan pengeluaran Lesen Sementara (PL) kepada syarikat korporat. – kemenaupdate.my

Sarawak Bakal Daftar Hak Cipta Intelek Vaksin Rabies Oral Guna Formula Tempatan

0

SRI AMAN, 12 April — Kerajaan Sarawak bersedia mendaftarkan hak cipta harta intelek (IP) bagi inovasi umpan vaksin rabies oral yang dibangunkan secara eksklusif oleh Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC).


Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menegaskan bahawa penemuan tersebut merupakan anjakan paradigma dalam kaedah imunisasi haiwan, memandangkan vaksin tersebut boleh diberikan secara oral tanpa memerlukan prosedur suntikan konvensional.


“Pusat penyelidikan kita telah berjaya menghasilkan formula vaksin yang hanya perlu dimakan oleh haiwan seperti anjing dan kucing, menyerupai pemberian makanan ringan atau gula-gula. Langkah ini merupakan hasil penyelidikan anak watan dan kita akan memulakan proses pendaftaran IP dengan segera,” ujar beliau semasa Majlis Penangguhan Forum Ekonomi DUN Lingga, hari ini.


Terdahulu pada Jumaat, Sarawak secara rasmi mengaktifkan penggunaan umpan vaksin rabies oral (ORV) yang disasarkan kepada populasi anjing liar sebagai strategi pengukuhan kawalan wabak di wilayah ini.


Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS), Dr Nicholas Jenek, menjelaskan bahawa keberkesanan vaksin tersebut membolehkan haiwan membina tahap antibodi yang mencukupi dalam tempoh sebulan selepas pengambilan.


Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari turut mendedahkan kolaborasi strategik antara Sarawak dan Universiti Fudan bagi memperincikan kajian terhadap spesies flora tempatan yang memiliki sifat antikanser.


“Integrasi antara perubatan herba tradisional dan kepakaran perubatan Barat merupakan pendekatan dinamik kita dalam mencari solusi tuntas terhadap penyakit-penyakit baharu yang kompleks,” tambah beliau.


Menyentuh mengenai ekosistem penyelidikan tersebut, beliau menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi atas kelulusan penubuhan kampus Universiti Fudan di Miri, yang bakal berfungsi sebagai hab utama aktiviti penyelidikan saintifik berkenaan. – kemenaupdate.com

SARAWAK PERLU ‘ORANG BIJAK’ KUASAI AI, TEKNOLOGI MODEN – DR STEPHEN RUNDI

0

NIAH | 25 April | Sarawak memerlukan generasi berilmu tinggi yang mampu menguasai teknologi masa hadapan seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi moden bagi memastikan negeri ini tidak ketinggalan dalam arus kemajuan global.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom menegaskan bahawa masa depan pembangunan Sarawak kini bergantung sepenuhnya kepada pelajar yang mencapai kejayaan cemerlang dalam pendidikan, khususnya dalam mendepani cabaran teknologi baharu.

Beliau menyeru agar tumpuan diberikan kepada bidang STEM, dengan penekanan khusus terhadap penguasaan bahasa Inggeris dan kemahiran teknikal bagi memastikan anak-anak Sarawak selari dengan hala tuju pembangunan negeri semasa beliau berucap di Rumah Lawrence,Bukit Kenyalang malam tadi.

Mengambil contoh sektor pertanian, Dr Rundi menyatakan bahawa golongan petani tidak lagi boleh bergantung kepada kaedah tradisional semata-mata jika mahu meningkatkan hasil.

“Untuk mempertingkatkan hasil pertanian, kita perlu menggunakan mesin, sistem automasi, dron dan sebagainya. Jika kita tidak mempelajari teknologi ini, kita tidak akan dapat menggunakannya. Lihat sahaja negara seperti China, Taiwan mahu pun Thailand, mereka sudah lama menggunakan mekanisasi yang baru,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa anak-anak Sarawak untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang pendidikan percuma di universiti-universiti milik kerajaan negeri. Antara institusi yang disebut termasuklah Universiti Curtin di Miri, i-CATS University College dan Universiti Swinburne di Kuching, serta Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu.

Langkah ini dilihat sebagai kunci utama dalam melahirkan generasi “bijak pandai” yang bakal memacu transformasi Sarawak ke arah sebuah negeri maju berasaskan teknologi dan inovasi.

Sarawak perkukuh strategi menangani rabies

0

KUCHING (18 April) – Kerajaan Negeri Sarawak kini mempergiatkan usaha memerangi wabak Rabies dengan memperkenalkan inovasi rawatan serta memperkukuh kerjasama komuniti.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom memberi amaran keras mengenai bahaya virus ini telah ditekankan memandangkan statistik kadar kematian yang amat membimbangkan dalam kalangan rakyat negeri ini.

Salah satu cabaran utama yang dikenal pasti dalam menangani penularan ini adalah kesukaran memberi suntikan vaksin secara konvensional kepada anjing liar yang agresif.

Sehubungan itu, pihak kerajaan menggesa semua pemilik haiwan peliharaan di Sarawak untuk bertindak secara bertanggungjawab dengan memastikan haiwan mereka dilesenkan dan mendapat suntikan vaksin secara berkala.

Pemilik kucing juga tidak terkecuali daripada saranan ini bagi mengurangkan risiko jangkitan silang. Kerajaan turut komited untuk menyediakan peruntukan bajet yang lebih besar bagi tahun 2025 bagi memperluaskan skop imunisasi di seluruh bahagian, terutamanya di kawasan pintu masuk sempadan seperti Serian dan Lubok Antu bagi mengawal pergerakan anjing pembawa virus dengan lebih berkesan.

Dr Rundi: Jangan jual tanah adat, nilainya akan berganda pada masa hadapan

0

BINTULU (4 Mei): Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap ADUN Kemena, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Anak Utom, mengeluarkan amaran keras kepada masyarakat Bumiputera Sarawak supaya tidak menjual tanah hak adat resam (NCR) mereka, dengan memetik contoh nyata tanah di Sibu yang kini bernilai sehingga RM1.5 juta seekar setelah dahulunya diperoleh secara percuma.

Beliau menyampaikan amaran ini semasa berucap di Majlis Mantar Gawai Sebauh 2026 di Dinner World, Bintulu, pada 1 Mei 2026. Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua serta Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, hadir selaku Tetamu Kehormat pada majlis berkenaan.

“Apa yang kita lihat hari ini nilainya tidak sama dengan apa yang akan kita lihat 10 atau 20 tahun lagi. Generasi akan datang akan tidak senang, atau mereka akan menyumpah kita kerana tanah telah dijual,” kata Dr. Rundi.

Beliau turut menekankan kepentingan memastikan semua tanah NCR yang belum didaftarkan segera diproses untuk mendapatkan hak milik yang sah, memperingatkan bahawa banyak tanah masyarakat masih belum mempunyai status undang-undang yang jelas dan terdedah kepada pertikaian.

“Kita mesti jaga tanah kita. Jangan lepaskan begitu sahaja,” tegasnya, mengingatkan bahawa di kawasan yang sudah membangun, mereka yang dahulunya memiliki tanah kini terpaksa menyewa tanah mereka sendiri. – kemenaupdate.com

Ibu bapa digesa pantau penggunaan gajet anak

0

NIAH (17 April): Menghadiri Majlis Gong Xi Raya di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Tellingai hari ini, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Anak Utom, menasihati para pelajar yang kurang menonjol dalam bidang akademik agar tidak mudah berputus asa, sebaliknya meneroka peluang dalam bidang kemahiran teknikal dan vokasional.

Dalam majlis yang sama, satu teguran mesra turut dititipkan kepada golongan ibu bapa mengenai cabaran membesarkan anak-anak pada era digital.

Beliau menggesa ibu bapa agar tidak memberikan kebebasan mutlak kepada anak-anak dalam penggunaan telefon pintar dan peranti elektronik tanpa sebarang pemantauan.

“Media sosial dan teknologi ada baik dan buruknya. Ibu bapa tidak boleh sekadar menyerahkan gajet kepada anak-anak untuk mengelakkan mereka menangis atau mengganggu tugas harian. Jika dibiarkan tanpa kawalan, anak-anak berisiko menjadi mangsa teknologi dan terdedah kepada berita palsu (fake news) serta anasir negatif,” tegasnya.

Selain itu, beliau turut menyeru agar peranan PIBG diperhebat sebagai jambatan penghubung antara guru dan ibu bapa. Komunikasi yang berterusan amat penting bagi memantau pergerakan dan perkembangan disiplin anak-anak, mengelakkan keciciran, dan menyelesaikan masalah di peringkat awal.

Sarawak peruntukkan RM1 bilion sasar tahap sara diri beras 60 peratus menjelang 2030

0

Kerajaan Sarawak sedang mempercepatkan transformasi sektor pertanian negeri dengan sasaran mencapai tahap sara diri (SSL) beras sebanyak 60 peratus menjelang tahun 2030, didorong oleh ketidaktentuan geopolitik global dan keperluan mendesak terhadap sekuriti makanan terjamin.


Pada masa ini, kadar SSL beras Sarawak berada pada tahap rentan iaitu 21 peratus. Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom menegaskan keperluan untuk menaik taraf infrastruktur pertanian negeri secara holistik.

Bagi merealisasikan matlamat rantaian bekalan tersebut, kerajaan negeri bakal melaksanakan pembangunan kawasan penanaman padi fasa awal seluas 2,000 hektar dengan kos infrastruktur bernilai RM1 bilion melalui pendekatan baharu berkonsepkan Reka, Bina, Kendali dan Pindah (D-POT).

Sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030, kementerian itu kini sedang melaksanakan anjakan strategik ke arah pemodenan pertanian berskala besar dengan mengadaptasi teknologi Kecerdasan Buatan (AI) secara menyeluruh.

Dr Rundi menekankan bahawa penggunaan teknologi tinggi, termasuk automasi dron, jentera penuaian moden, dan penanaman jitu berasaskan sistem Internet Benda (IoT) seperti yang dilaksanakan di Sibu dan Kabuloh, merupakan langkah kritikal bagi menarik minat pelaburan dan generasi muda untuk beralih ke sektor ini.


Dalam usaha menstruktur semula landskap pertanian negeri, Sarawak turut beralih daripada dasar pemberian subsidi berteraskan input secara rawak kepada kerangka sistem insentif yang berorientasikan hasil.

Transformasi komprehensif ini merangkumi pengenalan konsep Taman Agro serta penubuhan kawasan kluster komoditi spesifik bagi produk tempatan berpotensi premium bagi menjana pengeluaran berkelompok, sekaligus menarik pemegang taruh komersial antarabangsa.


Walaupun sektor pertanian telah menyumbang sebanyak RM15.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak pada tahun 2024, lebih 81 peratus daripada perolehan tersebut masih didominasi oleh komoditi kelapa sawit. Menyedari ketidakseimbangan ini, langkah pempelbagaian hasil tanaman dan sektor penternakan terus dipergiat bagi mengimbangi pulangan kewangan dan jaminan pangan.

Ini turut disokong oleh kelebihan daya saing industri penternakan babi Sarawak yang kekal berstatus bebas Penyakit Kuku dan Mulut (FMD), membolehkan eksport mapan ke pasaran luar seperti Singapura berterusan tanpa halangan.


Melangkah ke hadapan di bawah kerangka perancangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), pentadbiran negeri akan memberikan tumpuan penuh ke arah penyusutan kos pengeluaran operasi melalui inisiatif ekonomi kitaran dan penghasilan makanan haiwan ternakan tempatan.

Kerangka strategik ini dirangka khusus untuk membina daya tahan sekuriti makanan dan menyerap kejutan ekonomi, memastikan rakyat tempatan tidak terus menjadi mangsa kepada impak rantaian inflasi global.

Sarawak Sasar Tahap Sara Diri Beras 60 Peratus Menjelang Tahun 2030

0

KUCHING (12 APR) : Sarawak menyasarkan peningkatan Tahap Sara Diri (SSL) beras daripada 21 peratus kepada 60 peratus menjelang 2030, sebagai langkah mengukuhkan keselamatan makanan negeri dalam menghadapi ketidaktentuan rantaian bekalan makanan global.

Sasaran ini ditetapkan sebagai agenda keselamatan utama berikutan tekanan geopolitik antarabangsa yang berpotensi menjejaskan kestabilan import beras negara.


Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom menegaskan bahawa kebergantungan tinggi terhadap sumber luar meletakkan negeri dalam kedudukan yang amat berisiko. Beliau berkata transformasi menyeluruh Jabatan Pertanian diperlukan segera bagi memastikan kapasiti pengeluaran domestik terjamin.


“Kita sedang bergelut untuk memastikan kita mampu mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus. Pada masa ini, kita hanya mempunyai 21 peratus. Jika berlaku sebarang krisis geopolitik global, ia akan menyebabkan kita berada dalam keadaan yang agak kritikal,” tegas beliau semasa berucap pada majlis Malam Apresiasi M-FICORD di Hotel 56 Kuching pada malam 12 April.


Bagi merealisasikan sasaran itu, kementerian sedang merangka peralihan menyeluruh daripada pemberian subsidi pukal konvensional kepada sistem insentif berasaskan hasil. Langkah ini bermakna agensi pertanian tidak lagi sekadar bertindak sebagai pengedar input, sebaliknya berfungsi sebagai pemudah cara rantaian nilai yang tertumpu kepada pengeluaran berskala besar.


Dalam tinjauan terkini di lapangan, Dr Rundi mengakui kawasan jelapang padi sedia ada seperti di Tanjung Bijat dan Stumbin di Batang Lupar memerlukan naik taraf infrastruktur secara menyeluruh. Usia fasiliti pengairan dan saliran yang sudah lama menuntut pelaksanaan pembaikan bersepadu bagi memaksimumkan potensi hasil tuaian.


Selain itu, Sarawak turut meneliti amalan pertanian berkelompok yang berjaya dilaksanakan di negara jiran termasuk Vietnam, Thailand, dan terkini di Sambas, Indonesia. Pengurusan secara estet bagi sawah padi komuniti membolehkan mekanisasi ladang dijalankan secara optimum dan berterusan.


Selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030, inisiatif ini bukan sekadar menjamin ketahanan pangan, malah berfungsi sebagai pelindung ekonomi bagi rakyat. Dengan tekanan inflasi global yang menaikkan harga komoditi, pengeluaran makanan tempatan yang stabil adalah kunci untuk melindungi kuasa beli pengguna di Sarawak.

Popular Posts

My Favorites

Sarawak laksana program pertanian pintar guna teknologi IoT dan dron di...

0
BINTULU (1 Mei): Kerajaan Sarawak sedang melaksanakan program pertanian pintar menggunakan teknologi Internet of Things (IoT) dan dron di kawasan Batu 11, Bintulu, sebagai...